Pages Navigation Menu

SEJARAH ASRAMA

Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama merupakan satu identiti atau lambang kebanggaan warga SMKDU sejak dari dahulu lagi. Asrama ini adalah sebahagian dari sekolah yang memberi sumbangan besar baik dari segi kurikulum dan kokurikulum. Pelajar-pelajar Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama merupakan pelajar yang terpilih dan datang dari seluruh negeri Selangor.

 

Sebelum pembinaan asrama ini, tapaknya merupakan padang bola sepak Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama. Pembinaan asrama telah bermula pada April 1991 dan siap setahun selepas itu iaitu pada tahun 1992. Kos pembinaan asrama berjumlah 1 juta ringgit telah diperuntukkan oleh Jabatan Pendidikan Selangor pada masa tersebut. Asrama ini telah dibina berpandukan rancangan Negeri Selangor pada masa tersebut untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan. Terdapat 3 buah sekolah lagi dari daerah Klang, Shah Alam dan Kajang yang turut terlibat dalam projek ini. Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama telah dipilih untuk mengendalikan lima jenis program pada masa tersebut iaitu ping-pong, badminton, gimrama, renang dan Bahasa Inggeris.

 

Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama dibina pada mulanya bertujuan untuk menempatkan pelajar-pelajar yang mempunyai kemahiran permainan sukan menjalankan latihan intensif dan kebanyakan mereka telah terpilih untuk mewakili negeri dalam Pertandingan Sukan Sekolah-sekolah. Walau bagaimanapun, pada penghujung 1997 pelajar-pelajar ini diarahkan bertukar ke SMK Seksyen 11 iaitu sebuah sekolah yang mempunyai kelengkapan dan tempat yang lebih sesuai untuk menjalani latihan mereka. Pada tahun 1998, kekosongan asrama dipenuhkan dengan 30 orang pelajar-pelajar Pendidikan Khas tajaan Yayasan Selangor dan menjadikan kecemerlangan akademik sebagai objektif utama asrama ini.

 

Asrama ini mempunyai 2 orang warden dan seorang penyelia asrama. Mengikut statistik terkini, pada tahun 2014 pelajar asrama terdiri daripada 50 pelajar putera dan 74 orang pelajar puteri. Pelajar-pelajar ini dididik untuk mengamalkan budaya 3K (keceriaan, kebersihan, dan keselamatan). Sistem pengurusan asrama dipertingkatkan supaya lebih cekap dan berkesan. Beberapa perubahan telah dibuat bertujuan menaikkan taraf asrama dari segi kecemerlangan akademik, pembangunan, landskap, kebersihan dan keselamatan. Dalam menjalankan perubahan ini,pihak asrama banyak merancang aktiviti-aktiviti yang diharap dapat memberi pelajar peluang untuk mengembangkan potensi diri mereka, memberi mereka keyakinan diri, memupuk sikap kerjasama dan juga berdikari untuk merealisasikan visi dan misi asrama.

KEBITARAN ASRAMA

Kebitaraan Asrama SMK Damansara Utama adalah berpandukan dan sama dengan bidang kebitaraan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Bidang-bidang kebitaraan dari segi akademik dan kokurikulum adalah seperti berikut:

BIDANG KEBITARAAN AKADEMIK: BAHASA MELAYU

Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi di Malaysia, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Bahasa Melayu juga merupakan bahasa ilmu dan bahasa perantaraan yang diguna pakai dalam semua urusan sama ada rasmi atau tidak rasmi. Pada amnya, sesuatu bahasa itu berkembang dan maju selaras dengan taraf perkembangan dan kemajuan yang dicapai oleh masyarakat bahasa itu sendiri. Oleh itu penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid seharusnya diberi perhatian yang serius agar mereka mampu mengangkat bahasa Melayu sebagai satu wadah ilmu di persada antarabangsa selaras dengan konsep satu Malaysia yang diiIhamkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, agar bahasa Melayu mampu mengukuhkan perpaduan antara kaum.

Demi mencapai objektif untuk melahirkan modal insan gemilang,, pihak sekolah telah memilih Bahasa Melayu sebagai kebitaraan akademik dan merancang beberapa program pada setiap tahun. Program yang dirancang berdasarkan bidang kebitaraan bahasa Melayu merangkumi bidang akademik dan koakademik menerusi program MBMMBI.

Muird-murid asrama banyak mengambil bahagian dalam pertandingan bahas, pidato dan puisi. SMK Damansara Utama juga merupakan penganjur Pertandingan Pidato peringkat kebangsaan pada tahun 2013 dan kebanyakan peserta dan AJK terlibat adalah murid ASDUTA.

 BIDANG KEBITARAAN AKADEMIK: BAHASA INGGERIS

 Bahasa Inggeris merupakan bahasa global dan kepentingannya dalam era teknologi, komunikasi dan maklumat tidak dapat dinafikan. Bahasa Inggeris juga merupakan bahasa ilmu antarabangsa dan keupayaan memahami Bahasa Inggeris akan mempengaruhi kecemerlangan seseorang individu. Bahasa Inggeris dipilih sebagai salah satu kebitaraan akademik SMK Damansara Utama memandangkan Bahasa Inggeris adalah bahasa intelektual dan tahap penguasaan bahasa ini akan mempengaruhi kebolehan seseorang individu mentafsir bahan ilmiah dan berkomunikasi dengan berkesan. Selain itu, Bahasa Inggeris juga adalah bahasa instrumental dalam bidang teknologi, komunikasi dan maklumat. Berlandaskan hakikat ini, setiap murid mesti memiliki kemahiran berbahasa Inggeris untuk membolehkan mereka mengakses maklumat daripada internet dan seterusnya menggunakan segala kemudahan dunia ICT dengan sepenuhnya.

Beberapa program dirancang berdasarkan kebitaraan Bahasa Inggeris SMK Damansara Utama yang merangkumi aspek akademik dan koakademik menerusi program MBMMBI. Program-program yang dirancang untuk murid-murid asrama adalah seperti English Attack, English Night, Proverb Garden dan sebagainya.

BIDANG KEBITARAAN KOKURIKULUM : PERKHEMAHAN UNIT BERUNIFORM

 Pasukan beruniform merupakan salah satu komponen wajib yang perlu dipilih oleh pelajar dalam memenuhi prinsip pelaksanaan kokurikulum di sekolah. Dalam hal ini, pihak sekolah sudah pasti menyediakan program dan kemudahan untuk pasukan beruniform melaksanakan aktiviti dan program untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam pasukan beruniform. Asas kepada kecemerlangan murid dalam aktiviti pasukan beruniform di peringkat sekolah akan melonjakkan kualiti diri murid di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Menyedari hakikat inilah, maka pihak sekolah telah memilih pasukan beruniform sebagai kebitaraan (‘niche area’) berdasarkan kepada penglibatan yang aktif dan pencapaian murid dalam pasukan beruniform di semua peringkat.

Melalui pelbagai aktiviti yang telah dianjurkan, unit beruniform SMK Damansara Utama telah mengecap pelbagai pencapaian dan kejayaan yang membanggakan. Di samping itu, unit beruniform turut mengharumkan nama sekolah pada peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan seterusnya di persada antarabangsa. Hal ini membuktikan bahawa SMKDU mempunyai iltizam untuk menjana remaja berwawasan selari dengan arus globalisasi melalui bakat dan kemahiran serta kemampuan bersaing pada semua peringkat.

Unit beruniform yang banyak disertai oleh murid-muird asrama adalah PKBM dan Puteri Islam. Deduksinya, SMKDU mempunyai harapan untuk mengukuhkan perhubungan dan pergaulan dalam kalangan pelajar serta meningkatkan kecerdasan fizikal, mental, kesihatan dan kesejahteraan melalui unit beruniform.

BIDANG KEBITARAAN KOKURIKULUM:

KUMPULAN CAK LEMPONG SMK DAMANSARA UTAMA

 Kumpulan Cak Lempong SMK Damansara Utama (KCLSMKDU) telah ditubuhkan bagi memenuhi minat kumpulan murid yang mempunyai bakat dan berkemahiran memainkan alat muzik. Berasaskan bakat mereka ini pihak sekolah telah mengambil kesempatan serta initiatif untuk perkenalkan dan mendedahkan murid kepada seni muzik warisan bangsa ini. Penubuhan kumpulan ini juga bertujuan untuk memberikan peluang kepada murid-murid yang berbakat seni muzik menggunakan kumpulan ini sebagai satu ”platform” untuk menunjukkan kebolehan, kemahiran dan mengembangkan potensi mereka khususnya dalam menggunakan instrumen muzik tradisional yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat kini.

Sebilangan besar kumpulan murid Cak Lempong merupakan murid-murid asrama. Penubuhan kumpulan ini adalah selaras dengan wawasan negara yang ingin mewujudkan bangsa Malaysia yang maju mengikut acuan tersendiri. KCLSMKDU telah ditubuhkan mengikut acuan SMK Damansara Utama untuk mencapai aspirasi murid menghayati dan menyayangi seni warisan dan budaya yang membentuk identiti unik Malaysia.   Justeru, Muzik Tradisional Cak Lempong telah dijadikan salah satu daripada bidang kebitaraan di bawah bidang kokurikulum dan bidang kebitaraan dimantapkan serta diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi iaitu di peringkat kebangsaan dan juga antara bangsa.

Bidang kebitaraan ini mencerminkan keistimewaan SMK Damansara Utama sebagai sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan yang mempunyai warga yang memartabatkan budaya warisan bangsa. Sehubungan dengan itu, adalah menjadi hasrat pihak sekolah supaya KCLSMKDU dapat mengembangkan potensinya dan berjaya mencapai objektifnya untuk menerapkan nilai bekerjasama sebagai satu pasukan serta konsep ’1 Sekolah 1 Warisan Budaya’